Oleh : Che Wan Shamsul Bahri bin CW Ahmad, kini bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Artikel ini hanyalah pandangan penulis semata-mata. Kutipan dan petikan adalah dinyatakan sumbernya.
Pendahuluan
Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bukan sahaja lanskap kehidupan masyarakat Melayu, bahkan juga turut mengubah kaedah penulisan masyarakat Melayu. Ini terbukti dengan penggunaan tulisan Jawi secara meluas di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Usianya dikatakan telah mencecah hampir seribu tahun berbanding dengan tulisan Rumi yang hanya mula digunakan secara meluas selepas tahun 1960an. Apabila masyarakat Malaysia mula menggunakan bahasa Melayu tulisan Rumi secara rasmi pada tahun 1963, maka secara tidak langsung tulisan Jawi mula dipinggirkan. Bertitik tolak dari situ, tulisan Jawi sudah tidak lagi dilihat kepentingannya sebagai tulisan bahasa Melayu. Lantaran dari itu, pengajaran Jawi di sekolah tidak lagi ditekankan.
Program memartabatkan Jawi |
Terdapat banyak bahan-bahan yang tulisan Jawi yang sampai ke Tanah Melayu seperti kitab agama serta hikayat nabi dan para sahabat menggunakan sistem ejaan Jawi pengaruh Arab. Penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) yang bertarikh 22 Februari 1303 M menjadi bukti penggunaan tulisan Jawi di alam Melayu(Rohayu Ismail 2008). Apa yang menariknya, BBPT ditulis menggunakan tulisan Jawi dengan pengaruh Melayu; iaitu penggunaan huruf vokal. Ia dikatakan tulisan Jawi yang tertua di dunia. Terdapat sedikit perbezaan di antara tulisan Jawi pada masa dahulu dengan sistem tulisan Jawi moden yang kita lihat pada hari ini (Ahmad et al. 2012).
Batu Bersurat Terengganu |
Kini, peranan besar yang dimainkan oleh tulisan Jawi telah diambil alih oleh tulisan Rumi. Menurut (Faisal Kadir 2011), bekas penjajah terkejut kerana orang Melayu kini tidak lagi menggunakan tulisan Jawi. Beliau menceritakan pengalaman beliau semasa bekerja di sebuah perpustakaan di Scotland. Beliau didatangi oleh seorang Scottish yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Orang Scottish ini fikir bahawa orang Malayu masih menggunakan fon Arab atau Al Quran (tulisan Jawi) lagi dalam penulisan mereka.
Tulisan Jawi Suatu Masa Dahulu
Mahir membaca dan menulis Jawi suatu masa dahulu adalah satu kebanggaan. Kebanyakan golongan cerdik pandai pada masa itu menggunakan ejaan Jawi sepenuhnya dalam persuratan dan penulisan karya mereka (Abd Jalil Borham 2012). Tulisan Jawi digunakan secara meluas bagi bahasa Melayu pada masa itu dan berfungsi sebagaimana ejaan Rumi pada hari ini. Sehinggakan orang Inggeris pun menggunakan tulisan Jawi untuk mengutus surat kepada raja-raja dan pembesar Melayu. Bahasa Melayu bertindak sebagai lingua franca, iaitu sebagai bahasa perantaraan dalam kalangan pedagang dan penggunaannya sangat meluas sebagaimana bahasa Inggeris hari ini (Nik Safiah Karim et al. 2004).
Pada hari ini keadaannya amat berbeza sekali. Usaha Wilkinson untuk mengelirukan orang Melayu dalam penggunaan tulisan Jawi nampaknya telah berjaya seterusnya menyebabkan orang Melayu kurang berminat dengan sistem tulisan ini kerana terlalu banyak homograf dan kekeliruan (Amat Juhari Moain 1996). Lantas, orang Melayu merasa lebih selesa dengan ejaan Rumi yang kononnya dikatakan lebih mantap. Sebenarnya, tulisan Rumi juga mengalami proses revolusi dan kematangan sehingga kita dapat lihat ejaan terkini pada hari ini.
Nasib Tulisan Jawi dan Bahasa Melayu
Pada masa ini, penggunaan ejaan Rumi sangat meluas dalam Bahasa Melayu. Untuk menggunakan ejaan Jawi adalah satu perkara yang agak ganjil. Lebih malang lagi, sebahagian masyarakat kita memandang rendah terhadap tulisan Jawi. Pelajaran Jawi juga adalah di antara pelajaran yang paling tidak popular dalam kalangan pelajar (Rashid 2004).
Dalam satu Seminar Antarabangsa Teknologi Pendidikan (IMETC2011) di Kuantan pada 16 hingga 19 Oktober 2011, terdapat pembentang daripada Singapura yang mengejutkan penulis tentang nasib Bahasa Melayu di Singapura. Pembentang tersebut adalah seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Singapura. Bahasa Melayu memang salah satu bahasa rasmi Singapura tetapi amat menyedihkan kerana penggunaannya terhad. Orang Melayu di Singapura sendiri lebih berminat dan selesa menggunakan Bahasa Inggeris dalam percakapan seharian mereka.
Apa yang ingin dikongsi di sini ialah kegusaran guru tersebut terhadap pelajarnya yang dikatakan kurang berminat untuk belajar Bahasa Melayu. Tidak ramai pelajar Melayu di Singapura yang menunjukkan minat belajar Bahasa Melayu berbanding dengan Bahasa Inggeris. Apatah lagi pelajar yang bukan berbangsa Melayu. Ini belum lagi disentuh berkenaan Bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi.
Di Malaysia, nasib Bahasa Melayu masih terpelihara kerana Bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa rasmi negara ini. Bahasa Melayu juga menjadi matapelajaran yang wajib diambil dalam peperiksaan sekolah rendah, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala di sekolah menengah pula ialah Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun begitu, tidak mustahil suatu masa nanti nasib yang sama sebagaimana Bahasa Melayu di Singapura mungkin akan menimpa negara kita jika tidak ditangani dengan serius mulai sekarang.
Program seumpama ini amat baik untuk survival Jawi |
Di institusi pengajian tinggi, sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), peminggiran terhadap Bahasa Melayu telah mula kelihatan. Banyak universiti menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P &P) mereka dengan alasan terdapat pelajar antarabangsa. Mahasiswa universiti di semua bidang hanya wajib mengambil satu matapelajaran Bahasa Melayu, itupun diberi pengecualian kepada pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi kertas Bahasa Melayu di peringkat SPM. Manakala pelajar asing diberi pengecualian daripada mengambil matapelajaran Bahasa Melayu.
Tulisan Jawi Kini
Pada hari ini, generasi muda berasa malu untuk belajar Jawi, seolah-olah Jawi hanya untuk pelajar yang mengikuti bidang pengajian Islam sahaja. Masyarakat kita lebih selesa menggunakan tulisan Rumi berbanding tulisan Jawi. Lebih malang lagi apabila sebahagian masyarakat kita lebih selesa berbahasa Inggeris yang diselang seli dengan bahasa Melayu dalam perbualan harian mereka.
Bangsa Melayu hari ini perlu khuatir tentang nasib tulisan Jawi. Tidak mustahil tulisan Jawi akan pupus dalam kehidupan masyarakat Melayu pada suatu masa nanti jika langkah-langkah memajukannya tidak dimulakan dengan serius daripada sekarang. Ungkapan yang paling sesuai bagi tulisan Jawi kini adalah “hidup segan, mati tak mahu”. Itulah realitinya tulisan Jawi kini.
Penggunaan tulisan Jawi terlalu terhad. Di jabatan kerajaan, hanya Jabatan Agama Islam sahaja yang menggunakan tulisan Jawi seperti pada surat daftar nikah dan untuk menyediakan teks kuthbah Jumaat. Manakala di sekolah pula hanya matapelajaran Jawi (sekolah rendah) dan Pendidikan Islam sahaja yang menggunakan Jawi. Program j-QAF di sekolah rendah dilihat satu usaha murni kerajaan dalam mengangkat martabat tulisan Jawi. Hasilnya selepas tiga tahun dilaksanakan cukup membanggakan(Bernama, 2007).
Di peringkat negeri pula terdapat sesetengah negeri, melalui pihak berkuasa tempatan mempunyai peraturan penggunaan Jawi pada papan tanda bagi nama kedai, papan iklan, nama jalan dan nama lorong. Peraturan ini sekurang-kurangnya adalah satu usaha untuk memartabatkan Jawi.
Papan Tanda di Terengganu |
Di Terengganu misalnya, kerajaan negeri mengurangkan bayaran lesen papan tanda sebagai galakkan penggunaan tulisan Jawi secara meluas di negeri tersebut. Kerajaan negeri juga mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi, termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi dan merancakkan lagi penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar.
Menurut Suriati (2011), dalam satu sidang DUN Terengganu, Mohd Razif menyatakan bahawa syarat utama kemasukan pelajar ke tingkatan satu ke sekolah agama di Terengganu adalah perlu menjalani ujian tulisan Jawi dan memilih mereka yang hanya mendapat peratusan tinggi. Kerajaan negeri Terengganu juga membina pusat tulisan Jawi di di Kuala Berang dan dikawal selia oleh Muzium Negeri Terengganu.
Kepentingan Jawi dan Cabaran dalam Pelestariannya
Menurut (Zin Mahmud 2006) penggunaan tulisan Jawi ini wajar dipertahankan atas tiga sebab iaitu;
- tulisan jawi memperkaya intelektual Melayu melalui pengungkapan bacaan dan tulisan bahan-bahan bacaan berhubung tamadun Islam,
- tulisan jawi melicinkan minda Melayu kerana ia ditulis dan dibaca dengan cepat dan berkesan, dan
- tulisan jawi mempunyai keindahan khat yang paling tinggi.
Justeru, Kementerian Pendidikan perlu berusaha keras untuk mewujudkan minat terhadap Jawi dalam kalangan pelajar. Dalam pendidikan, terdapat matapelajaran Jawi bagi pelajar sekolah rendah(Mohd Mazhan Tamyis 2011), dengan 1-2 waktu seminggu (walaupun agak terhad) dan matapelajaran Pendidikan Islam yang menggunakan teks Jawi.
Penubuhan Kelab Jawi di sekolah adalah langkah terpuji kerajaan dalam menggalakkan minat pelajar terhadap Jawi. Menurut Hishammuddin Tun Hussein kelab tersebut menjadi sebahagian daripada aktiviti luar bilik darjah untuk ditawarkan kepada pelajar(Bernama, 2007).
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang mengawal piawaian ejaan Jawi perlu memainkan peranan yang lebih aktif lagi dalam usaha memartabatkan Jawi. Penulis mencadangkan agar hanya satu tulisan Jawi yang standard dan selaras dengan nama ‘Ejaan Jawi Dewan’ yang menggambarkan bahawa hanya DBP sahaja yang mempunyai autoriti dalam menjaga khazanah bangsa Melayu, iaitu tulisan Jawi di samping mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh Jawi terkemuka. Sebarang pertelingkahan dan pertanyaan berkenaan ejaan Jawi yang betul (jika terdapat kekeliruan) perlu dirujuk kepada DBP (Matlob 2011). DBP mempunyai kuasa muktamad dalam menentusahkan ejaan Jawi. Penerbitan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi adalah satu usaha yang murni ke arah memartabatkan tulisan Jawi (Ismail Dahaman et al. 2008).
Buku Daftar Ejaan Rumi Jawi terbitan DBP |
Pelbagai seminar, persidangan, bengkel dan simposium yang berasaskan Jawi juga perlu diperbanyakkan lagi agar tulisan Jawi dapat disemarakkan. Tanpa usaha yang berterusan, program seumpama ini akan dilihat seolah-olah seperti hangat-hangat tahi ayam atau sifatnya bermusim.
Penghasilan produk ICT seperti perisian Jawi oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia (KeKKWa)dan Management dan Science University, (MSU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pelbagai lagi perlu dirancakkan. Usaha NGO seperti Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (PENJAWIM), Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan lain-lain lagi dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan tulisan Jawi perlu disokong dan didukung dengan menyumbang bantuan dan dana sama ada daripada pihak kerajaan mahupun syarikat-syarikat korporat.
Produk Permainan Kanak-kanak oleh KUIS |
Kerajaan juga perlu memikirkan dengan serius kesinambungan penggunaan tulisan Jawi, bukan hanya setakat di sekolah sahaja. Usahakan agar tulisan Jawi digunakan secara meluas dalam kehidupan dan aktiviti seharian, bukannya terhad kepada tempat dan masa tertentu sahaja. Sebagai langkah permulaan, selain daripada setiap kepala surat atau nama jabatan kerajaan ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi, sekurang-kurangnya perenggan pertama surat-surat kerajaan perlu ditulis dalam tulisan Jawi. Ini secara langsung dapat menarik minat mereka yang buta Jawi untuk mengetahui apa yang tertulis di permulaan surat tersebut. Atau setidak-tidaknya terdapat transliterasi Rumi-Jawi pada perenggan pertama pada setiap surat kerajaan.
Program televisyen ‘Mahir Jawi’ di TV9 adalah satu program televisyen yang sangat baik kepada pelajar dan juga kanak-kanak. Program ini berjaya menarik minat pelajar kerana mereka belajar Jawi dalam keadaan santai dan menyeronokan. Ia memberi nafas baru dalam mempelajari Jawi walaupun terdapat sedikit teguran tentang beberapa kesilapan dalam perkataan Jawi yang digunakan. Teguran itu boleh diambil secara positif untuk menambah baik program tersebut di masa akan datang.
Stesen-stesen televisyen juga perlu memasukkan tulisan Jawi dalam iklan mereka sebagaimana iklan yang menggunakan papan iklan di sesetengah negeri. Ini menggalakan penonton televisyen untuk membaca tulisan Jawi tersebut dan mendapatkan ejaan Jawi yang betul bagi perkataan tersebut.
Kesimpulan
Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan Jawi juga harus mampu bergerak seiringan dengan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu. Ia diharap mampu menyokong terutamanya istilah-istilah baru dalam sains dan teknologi yang kebanyakkan menggunakan kata pinjaman Inggeris.
Perbincangan di atas juga jelas menunjukkan bahawa usaha yang begitu tegas dan serius dari pihak kerajaan amat diperlukan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi. Kerajaan memiliki kuasa dalam membuat dasar (Azizi Hj Abdullah 2006). Tanpa usaha dan dokongan daripada pihak kerajaan, tulisan Jawi yang pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam pasti akan terkubur. Khazanah berharga (kitab-kitab lama, manuskrip-manuskrip lama) akan hilang jika tidak dijaga dan digali sepenuhnya.
Bahasa melambangkan bangsa (Rashid 2004), bangsa Melayu memang sering dikaitkan dengan Jawi suatu masa dahulu (Hashim Haji Musa dan Adi Yasran Abdul Aziz 2009).
Sebelas cadangan yang dikemukakan oleh Hashim dan Yusran dalam kertas Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi sepatutnya diperhalusi oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan tulisan Jawi.
Apa jadi dengan resolusi dan cadangan Prof Dr (Ismail Ibrahim 1991) dalam Konvensyen Tulisan Jawi dulu? Apakah tindakannya?
Rujukan
Abdul Hayie Abdul Syukur. 2009. Tulisan Jawi Sebagai Media Persuratan Melayu dan Islam. Dalam http://mybabah.blogspot.com/2009/11/artikel-khas-tulisan-jawi-dan-anda.html
Adi Yasran dan Hashim Haji Musa. 2008. Isu Homograf dan Cabarannya dalam usaha pelestarian tulisan Jawi. Jilid 3, Bil 1/2008, Jurnal ASWARA, halaman 109.
Azizi Abdullah. 2006. Roh Pendita ZA`BA Yang Menangis. Dalam http://aziziabdullah.blogspot.com/2006/05/tulisan-jawi.html
Berita Nasional Malaysia (Bernama). 2008. DBKL Perkenal Tulisan Jawi Pada Papan Nama Jalan. Artikel bertarikh 19 Februari 2008.
Berita Nasional Malaysia (Bernama). 2007. Kelab Jawi Ditubuhkan Di Sekolah. Artikel bertarikh 28 September 2007.
Mohamad Sofee Razak. 2010. Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan. Artikel daripada Berita Harian bertarikh 02 Januari 2010.
Suriati Ali. 2011. Penggunaan Tulisan Jawi Diperluaskan
Dalam http://teganukita.blogspot.com/2011/05/penggunaan-tulisan-jawi-diperluaskan.html artikel bertarikh 12 Mei 2011.
Abd Jalil Borham. 2012. Tulisan jawi: Tulisan serantau. Seminar Tulisan Jawi dan Teknologi Peringkat Kebangsaaan 2012, 18 Oktober 2012, at Universiti Malaysia Pahang
Ahmad, Che Wan Shamsul Bahri C.W., Khairuddin Omar, Mohammad Faidzul Nasrudin, et al. 2012. Isu-isu dalam transliterasi mesin manuskrip melayu ejaan jawi lama kepada jawi baru. Seminar Penyelidikan Jawi dan Manuskrip Melayu, 19-20 Jun 2012, at Universiti Teknologi Mara, Shah Alam:169-184.
Amat Juhari Moain. 1996. Perancangan bahasa: Sejarah aksara jawi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Hj Abdullah. 2006. Roh pendita za'ba yang menangis. In Azizi Abdullah.
Faisal Kadir. 2011. Penjajah terkejut, tulisan jawi dikuburkan. In Picisan Karangan Idea.
Hashim Haji Musa, dan Adi Yasran Abdul Aziz. 2009. Pemerkasaan kembali tulisan jawi. Jurnal ASWARA 4 (1):159-176.
Ismail Dahaman, Syeikh Othman Sheikh Salim, Manshoor Ahmad, et al. 2008. Daftar kata bahasa melayu dalam Rumi-Sebutan-Jawi, edited by Rusli Abdul Ghani, Ibrahim Ahmad, Azman Ahmad and Siti Suhana Mohd Amir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Ibrahim. 1991. Ucapan dasar. In Konvensyen Tulisan Jawi. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Mohd Mazhan Tamyis, Sharipah Nor Puteh. 2011. Pembelajaran tulisan jawi: Suatu usaha ke arah mencintai warisan budaya bangsa. Semianr Pendidikan Serantau ke-5, at Pekanbaru, Indonesia.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, et al. 2004. Tatabahasa dewan edisi baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rashid, Abd. Rahim Abd. 2004. Jawi : Cemerlang, gemilang dan terbilang. Dewan Bahasa.
Rohayu Ismail. 2008. Melestarikan tulisan jawi. Berita Harian, 19 November 2008, 2.
Zin Mahmud. 2006. Penggunaan jawi tambah intelektual. Al-Islam, 62-64.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan